Sunday 28 October 2012

Tip Menjawab Soalan Bahasa Melayu Penulisan




BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon 

dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana 
untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang 
bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.


Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan 

pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan
 membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A 
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 

markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan
 empat langkah, iaitu:

Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A 

ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar.
 Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". 
Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang 
diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan 
subjek (watak). 

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya 

ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu 
cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa 
banyak kata kerja yang berkaitan. 

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat 

lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak).
 Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, 
bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan

 sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa)
 Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika 
menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada 

membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang 
calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan 

kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan
 "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang 

berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini 
membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan. 

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula 

dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan 
nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas. 

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas 

terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu 
mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan 
sebagai pengulangan ayat. 

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan 

tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan 
kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan 
teratur. 

BAHAGIAN B 

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan

 yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, 

calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan 
berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan 

keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat. 

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan 

dihasilkan kelihatan lebih kemas. 

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak 

dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk 
menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar 
mencari isinya. 

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: 

Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda 
terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". 

Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format 
dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh 
membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" 

atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan 

kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya: 

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah 

kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh 

melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh 

menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, 
kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk 

rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih 

untuk menjawab Bahagian C. 

BAHAGIAN C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon 

mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini. 

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan 

diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni
 atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu. 

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. 

Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang 
dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang 
menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih". 

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas 

pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan 
iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan 

gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: 
Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada 
pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon 
dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin 
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran 
c) Mengapa - lulus periksa 

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar

 lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda 
wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang 

digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, 

iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian 
A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. 
Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan
 lengkap dan lima minit lagi untuk semakan). 

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan

 lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan
 Bahagian A, B dan C.


No comments:

Post a Comment