Sunday 28 October 2012

Tip Menjawab Soalan Bahasa Melayu Pemahaman




BAGI membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab 
soalan kertas ini dengan baik. Seperti yang diketahui, kertas 1 mempunyai dua bahagian iaitu 
tatabahasa dan pemahaman. Kedua-dua bahagian ini mempunyai teknik menjawab yang berbeza.

1.1 Tatabahasa

Pastikan anda sudah menguasai kesemua bahagian tatabahasa. Ini penting kerana kesemua 

pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami terlebih dahulu sebelum anda menjawab soalan. 
Di bawah ini merupakan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh calon sewaktu hendak 
menjawab soalan bahagian tatabahasa.

1.1.1 Faham
Calon perlulah memahami kesemua pilihan jawapan yang disediakan. Kesalahan memilih jawapan 

berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan yang diberikan. Calon hanya cuba 
mengagak maksud jawapan berkenaan. Kebiasaannya akan wujud satu atau dua pengganggu
 jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar 
memahami pilihan jawapan yang disediakan. Catatlah secara ringkas maksud pilihan 
jawapan berkenaan. Contoh:

A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu

1.1.2 Baca

Bacalah ayat yang disediakan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan 

pilihan jawapan. Kadang-kadang ada pilihan jawapan yang seolah-olah boleh dipilih sebagai 
jawapan. Pilihan jawapan yang sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap utama.
Contoh:
Ayah ._____ sepucuk telegram dari kampung.

1.1.3 Kesan

Anda perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Bulat atau gariskan klu 

berkenaan. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan anda 
memilih jawapan yang tepat.

(Bulatkan perkataan ‘dari’ sebagai klu jawapan yang menunjukkan ayah menerima)

Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.

1.1.4 Pilih

Peringkat ini adalah peringkat paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan 

mengikut kehendak soalan. Pengganggu yang diberikan sudah pasti akan mengelirukan 
adik-adik. Oleh itu, fahamilah betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.

A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu <-- Pengganggu yang hampir tepat
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu <-- Jawapan yang paling tepat

Calon-calon, pastikan:

* 1 soalan hanya ada 1 - 1 1/2 minit sahaja.
* Jangan membuang masa dengan cuba menjawab soalan yang susah.
* Jawab soalan Bahagian Tatabahasa (Soalan 1 hingga Soalan 30) terlebih dahulu.
* Peruntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk Bahagian Tatabahasa.
* Jawab soalan yang lebih mudah dahulu.
* Segera jawab soalan Bahagian Petikan.
* Peruntukan masa 10 minit untuk setiap petikan.
* Baki masa untuk tujuan menyemak semula jawapan.

1.2 Pemahaman

Calon-calon hanya perlu menjawab 10 soalan sahaja dalam bahagian pemahaman. Namun 

begitu setiap soalan amat berkait rapat dengan petikan yang disediakan. Untuk menjawab 
soalan pemahaman, calon perlulah memperbanyakkan latihan menjawab kerana bahagian 
ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam hal memahami petikan. Antara langkah-langkah
 yang perlu dilakukan sewaktu hendak menjawab soalan petikan ialah:

1.2.1 Baca dan faham

Calon-calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah

 membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan sesekali menjawab
 soalan tanpa membaca petikan terlebih dahulu.

1.2.2 Cari pembayang jawapan

Kebiasaannya klu atau pembayang jawapan berada dalam petikan. Calon perlu menggariskan 

klu tersebut. Pastikan klu berkenaan berkait rapat dengan soalan.

…Lawatan tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid 

proses membuat kerepek di kilang.

1.2.3 Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang anda garis dengan pilihan jawapan yang diberikan. Teliti dan 

fahami betul-betul sebelum memilih jawapan.

Apakah tujuan utama program lawatan diadakan? (soalan)

… bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek... 

(pembayang jawapan)

1.2.4 Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang yang digaris, 

pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih pilihan 
jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Berdasarkan catatan di atas, apakah tujuan utama program lawatan diadakan?

A Menyedarkan murid-murid betapa susahnya mencari rezeki.
B Meraikan sambutan dan hari terbuka yang diadakan oleh pihak kilang.
C Menggalakkan murid-murid agar menyertai industri membuat kerepek.
D Menambahkan pengetahuan murid berkenaan proses membuat kerepek.

Langkah-langkah diatas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu, beberapa 

kelemahan perlulah diatasi agar calon-calon tidak melakukan kesilapan. Antara 
kelemahan-kelemahan tersebut ialah:

* Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.
* Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
* Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
* Membuang masa dengan soalan yang susah.
* Keliru dengan pengganggu yang hampir sama ejaannya atau maknanya.
* Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
* Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
* Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!

Kira jumlah tanda hitam adalah cukup 40. Jika kurang, ini bermakna ada soalan yang belum 

berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dengan dua jawapan. 
Selamat menghadapi UPSR 2012. Semoga berjaya!

Tip Menjawab Soalan Bahasa Melayu Penulisan




BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon 

dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana 
untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang 
bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.


Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan 

pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan
 membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A 
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 

markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan
 empat langkah, iaitu:

Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A 

ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar.
 Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". 
Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang 
diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan 
subjek (watak). 

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya 

ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu 
cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa 
banyak kata kerja yang berkaitan. 

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat 

lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak).
 Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, 
bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan

 sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa)
 Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika 
menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada 

membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang 
calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan 

kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan
 "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang 

berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini 
membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan. 

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula 

dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan 
nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas. 

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas 

terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu 
mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan 
sebagai pengulangan ayat. 

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan 

tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan 
kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan 
teratur. 

BAHAGIAN B 

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan

 yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, 

calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan 
berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan 

keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat. 

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan 

dihasilkan kelihatan lebih kemas. 

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak 

dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk 
menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar 
mencari isinya. 

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: 

Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda 
terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". 

Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format 
dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh 
membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" 

atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan 

kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya: 

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah 

kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh 

melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh 

menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, 
kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk 

rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih 

untuk menjawab Bahagian C. 

BAHAGIAN C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon 

mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini. 

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan 

diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni
 atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu. 

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. 

Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang 
dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang 
menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih". 

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas 

pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan 
iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan 

gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: 
Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada 
pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon 
dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin 
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran 
c) Mengapa - lulus periksa 

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar

 lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda 
wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang 

digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, 

iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian 
A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. 
Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan
 lengkap dan lima minit lagi untuk semakan). 

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan

 lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan
 Bahagian A, B dan C.


Sunday 14 October 2012

PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA


1. Kesediaan Membaca

Apabila murid baru masuk ke tahun satu, guru hendaklah mengenal pasti kebolehan dan keupayaan murid dalam kemahiran membaca. Guru perlu membuat ujian atau penilaian untuk menentukan tahap kebolehan membaca dalam kalangan murid berkenaan. Guru harus menyedari bahawa murid yang memasuki tahun satu terdiri daripada murid yang datangnya daripada latar belakang keluarga serta sosioekonomi yang berbeza. Oleh itu, kebolehan dan kemahiran membaca dalam kalangan mereka kemungkinan tidak sama. 
Sebahagian besar murid khususnya yang tinggal di bandar telah memasuki tadika dan boleh membaca dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi murid yang tinggal di luar bandar, kebanyakannya tidak memasuki tadika. Murid ini biasanya akan menghadapi masalah membaca apabila mereka berada di sekolah. Bagi mengatasi masalah kemahiran membaca, guru hendaklah memberi perhatian kepada dua perkara yang berikut;
(a) perasaan murid
(b) bahasa murid

Guru hendaklah memberikan pengalaman kepada murid supaya mereka bersedia untuk membaca. Oleh itu, peringkat kesediaan murid ini penting bagi mencapai tujuan yang berikut;
  1. Untuk memberi peluang kepada murid merapatkan dirinya dengan guru. Ini boleh menimbulkan keyakinan mereka.
  2. Supaya dapat menimbulkan kemahiran dan keinginan murid untuk meluaskan lagi pengalamannya yang sedia ada.
  3. Untuk membina tabiat gemar membaca dan menghargai apa yang dibaca.
  4. Melatih murid supaya boleh memerhati sesuatu dengan baik dan cuba mengecamnya.
Untuk mencapai tujuan ini langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru ialah:
  1. Adakan aktiviti yang melibatkan murid seperti menyanyi, berlakon, bercerita dan sebagainya yang menarik hati.
  2. Banyakkan bermain-main dengan murid misalnya berbual-bual, bersoal jawab dengan cara yang tidak formal.
  3. Perbendaharaan kata yang difikirkan perlu hendaklah ditambah dari semasa ke semasa secara tidak langsung.
  4. Bina asas bahasa murid melalui pertuturan. Beri galakan dan pimpinan yang sepatutnya supaya murid mahu bertutur.
Pada peringkat kesediaan ini, guru hendaklah memerhati kesediaan murid sama ada murid telah bersedia untuk membaca atau sebaliknya. Oleh itu, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru bagi menentukan sama ada murid telah bersedia atau belum ialah dengan menjawab soalan-soalan yang berikut;
  1. Bolehkah dia mengecam gambar-gambar atau warna-warna asas serta membezakannya?
  2. Bolehkah murid itu faham atau dapat mengikuti percakapan orang lain terutama gurunya
  3. Dapatkah dia melihat dengan baik? Kenalkah dia bentuk-bentuk seperti garisan, bulatan dan lain-lain.
  4. Dapatkah dia melahirkan perasaan atau fikirannya?
  5. Bagaimana dengan kesihatannya? Dapatkah dia belajar dengan baik?
  6. Tahukah dia memegang alat baca dan tulis seperti buku, pensel dan sebagainya?
  7. Bagaimana dengan latar belakang keluarganya?
Beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca

1. Keadaan fizikal
  • penglihatan
  • pendengaran
  • pertuturan
  • umur
  • jantina
2. Pengalaman dan persekitaran
  • pendedahan bahan bacaan di rumah
3. Emosi dan motivasi
  • adakah kanak-kanak menghadapi masalah emosi?
  • adakah kanak-kanak bersikap negatif terhadap buku?
  • adakah kanak-kanak menghadapi masalah sosial?
  • adakah kanak-kanak mempunyai minat tertentu?
4. Kecerdasan dan perkembangan kognitif
  • daya kecerdasan
  • kebolehan mental secara keseluruhan
  • adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara perkataan dengan gambar?
  • adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara huruf dengan perkataan?

2. Prabacaan

Minat membaca sebenarnya bermula sejak kita dilahirkan. Bayi baru lahir belajar mengenai dunia sekeliling mereka dengan mendengar bunyi, nada bunyi dan bahasa percakapan. Ini merupakan persediaan awal untuk mereka belajar mengenali perkataan dan tulisan. Beberapa cara untuk memupuk minat membaca boleh dilaksanakan bagi bayi sejak mereka dilahirkan. Antaranya,
  • Jadikan aktiviti bercerita sebagai aktiviti harian bayi. Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini adalah selepas memandikan bayi pada waktu pagi dan semasa waktu makan.
  • Bercerita menggunakan rima semasa menyusukan bayi. Bayi suka mendengar suara anda semasa menyusu dan ini dapat menanamkan semangat mendengar cerita. Selain daripada bercerita, bayi juga boleh diperdengar lagu-lagu yang mempunyai rima yang sama.
  
3. Aktiviti prabacaan

Contoh aktiviti prabacaan yang boleh dijalankan di sekolah ialah;
  1. mengenal gambar yang berlainan 
  2. mengenal bentuk yang berlainan.
Pengalaman bayi melakukan aktiviti prabacaan merupakan proses untuk menyediakan seseorang kanak-kanak kepada peringkat pramembaca. Oleh itu, tahap ini merupakan satu tempoh masa menyediakan murid untuk membaca. Penyediaan dilakukan dengan memberi mereka pengalaman, iaitu mengenal dan mengecam sebelum membaca huruf itu. Pada tahap ini murid perlu didedahkan kepada aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.
 

4. Mekanis

Pada peringkat ini murid sudah boleh membunyikan huruf, suku kata, perkataan, frasa dan ayat-ayat mudah. Mereka juga boleh membatang perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup. Murid membaca secara kuat dengan menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang.

Tujuan bacaan mekanis ialah;
  1. Membolehkan murid membaca dengan cekap dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.
  2. Membolehkan murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta tahu pula berhenti pada tempat berhenti yang betul.
  3. Membolehkan murid membaca dengan irama membaca yang betul.
  4. Dapat menggunakan kemahiran membaca dalam mata muridan yang lain.
  5. Untuk membolehkan murid mencapai kemahiran dan kecekapan membaca secara kuat.
Pada peringkat bacaan mekanis ini, guru boleh melaksanakan langkah-langkah yang berikut;
  1. Guru memberikan satu petikan dalam satu masa khas untuk bacaan, sesuai dengan kebolehan dan umur murid.
  2. Bersoal jawab dan membantu murid dengan perkataan dan rangkai katra yang susah sama ada dari segi sebutan atau makna perkataan itu. 
  3. Guru membaca sebagai contoh dan murid menyemak bacaan guru.
  4. Guru membaca dan murid mengikut. Boleh dilakukan secara kelas atau kumpulan.
  5. Guru membimbing murid membaca secara individu dan bergilir-gilir.
  6. Guru berbincang dan bersoal jawab dengan murid tentang isi bacaan untuk menguji kefahaman mereka.
Contoh aktiviti
Aktiviti yang boleh dijalankan dalam bacaan mekanis ialah bacaan kuat dengan menggunakan kad imbasan yang mengandungi huruf, suku kata, frasa dan ayat. Contoh kad adalah seperti yang di bawah;
  1. Kad huruf
  2. Kad Huruf
  3. Kad Suku Kata
  4. Kad Suku Kata
  5. Kad Perkataan
  6. Kad Perkataan
  7.  Kad Frasa
  8. Kad Frasa
  9. Kad Ayat
  10. Kad Ayat
5. Membaca dan Memahami

Pada tahap bacaan dan kefahaman ini murid sepatutnya mempunyai keupayaan untuk;
(a) mengumpul maklumat dan makna daripada bahan yang dibaca.
(b) Mentafsir dan menilai sesuatu dengan sepenuhnya tentang bahan yang dibaca.
 
Penguasaan kosa kata boleh membantu murid memahami kandungan dan mesej yang hendak disampaikan melalui bacaan. Tanggungjawab utama guru dalam mengajarkan bacaan dan kefahaman adalah untuk membantu murid menambah dan meluaskan kosa kata. Pengajaran kosa kata seharusnya dapat membantu murid dalam hal yang berikut;
  1. Mengaitkan perkataan baru dengan pengalaman sedia ada. Dengan cara ini murid akan dapat memahami makna perkataan baru dengan lebih cepat dan berkesan serta mengekalkan makna perkataan itu dengan lebih lama.
  2. Mengkaji perkataan untuk melihat persamaan dsan perbezaannya, meneliti pertalian antara perkataan dan menggunakannya dalam konteks.
  3. Membina pengetahuan tentang makna perkataan dengan luas dan rapi.
  4. Membina strategi pembelajaran yang berkaitan dengan perkataan dan konsep secara bebas. Ini membolehkan murid berusaha sendiri tanpa sentiasa dibimbing atau dibantu oleh guru.
  5. Menggalakkan penglibatan secara aktif. Murid akan memberi tindak balas melalui perbincangan, soal jawab atau menggunakan perkataan dalam ayat.
Peringkat membaca dan memahami juga hendaklah sesuai dengan peringkat umur dan kecenderungan murid. Guru janganlah hanya mementingkan sebuatan suara dan kelancaran sahaja tetapi mestilah juga sekaligus menyediakan soalan-soalan yang mudah untuk kefahaman. Dalam hal ini bacaan senyap hendaklah juga digalakkan supaya murid dapat melatih diri sendiri untuk menangkap maksud isi muridan yang dibaca. Guru hendaklah memberi perhatian kepada perkara-perkara yang berikut;
  1. Memulakan membaca setelah murid dapat membaca ayat-ayat ringkas dan boleh mengecam perkataan, suku kata dan huruf.
  2. Banyakkan soalan-soalan yang munasabah untuk menguji kefahaman murid selepas membaca. 
  3. Beri murid peluang membaca dan memaham dalam mata muridan lain seperti Sejarah, Geografi, Sains dan sebagainya.
  4. Gunakan teknik soalan yang membina dan mengikut prinsip-prinsip yang betul.
  5. Aktiviti bacaan intensif dan ekstensif boleh dijalankan untuk latihan kemahiran membaca.
Kategori kefahaman bacaan

Kefahaman bacaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kefahaman literal, kefahaman inferensi dan kefahaman kritikal.

1. Kefahaman literal 
  • makna perkataan
  • makna ayat
  • huraian isi
  • idea utama
  • urutan idea
  • perbandingan
  • hubungan sebab dan akibat
2. Kefahaman inferensi 
  • membuat kesimpulan
  • mengeluarkan idea utama
  • membuat perbandingan
  • menunjukkan hubungan sebab dan akibat
  • membuat jangkaan
  • memahami dan menghuraikan bahasa kiasan
3. Kefahaman kritikal 
  • membezakan kenyataan daripada fantasi
  • membezakan fakta daripada pendapat
  • menentukan kecenderungan dan gaya bahasa penulis
  • menentukan kecekapan penulis dalam sesuatu bidang
  • menentukan tujuan penulis
Pada peringkat membaca dan memahami, seseorang pembaca perlu menjadi pembaca yang aktif. Konsep pembaca aktif berasaskan interaksi antara sesuatu teks dan seorang pembaca. Kita merupakan pembaca aktif apabila kita membaca untuk kefahaman dan maksud. Hal ini berbeza dengan pembaca hafalan kerana pembaca hafalan hanya membaca untuk mengingati dan mengulang. 
Mereka tidak berusaha untuk memahami apa yang ditulis.
 
Kita berkata sesorang membaca dengan aktif kerana sebahagian daripada teks adalah bergantung kepada input pembaca. Misalnya, kita memahami tentang dunia tempat kita tinggal melalui pengetahuan kita mengenainya. Oleh yang demikian, jika kita mempunyai perbendaharaan kata yang lebih untuk menerangkan objek, manusia dan situasi,maka interpretasi kepada apa yang kita baca adalah berbeza, berbanding dengan sesorang yang mempunyai perbendaharaan kata yang terhad. 

Seterusnya, kita memahami tentang hidup dengan bergantung kepada kecekapan bahasa kita serta pengetahuan kita mengenai dunia. Jika kita tidak biasa dengan sesuatu situasi, kita tidak akan dapat
memahaminya. Biasanya, kita cuba memahami sesuatu situasi baru dengan menggambarkan pengalaman masa lampau kita. Kita menggunakan pengetahuan masa lampau kita untuk memahami masa sekarang. Jika situasi itu sama dengan pengalaman masa lampau kita maka kita fikir kita telah tahu mengenainya. Akhirnya kita akan membuat kesimpulan.
 
Walau bagaimanapun, kadang-kadang kesimpulan pertama yang kita buat mungkin salah. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. Perbezaan budaya dan beberapa perkara yang bergantung kepada aspek yang diketahui, boleh menyebabkan kita membuat kesimpulan yang salah. Jadi, kita mesti menilai semula atau memikir semula konteks situasi berkenaan.